Sunday, July 18, 2010

Jiwa Tunduk Lalu Jasad Mengikutinya


Apabila kita ingin melakukan sesuatu, pasti jiwa/hati kita dahulu yang ingin melakukannya dan barulah jasad yang dikawal oleh fikiran mengikutinya. Jika jiwa kuat, pasti fikiran yang mengawal jasad menuruti kehendak jiwa ini di mana kita biasa kata “ikut hati”.
Fikiran yang bercelaru dengan memikirkan banyak perkara akan membuatkan kita teragak-agak mengikuti kata hati. Kita bimbang apa yang terdetik di dalam hati bukanlah satu tindakan yang terbaik. Lalu fikiran akan terus berperang dengan hati. Apabila ia berlaku, maka kepercayaan pada diri sendiri akan bergolak. Keyakinan pada diri sendiri akan hilang.
Kepercayaan dan keyakinan pada orang lain juga akan terjejas. Kita dapat lihat sesetengah suami isteri tidak dapat mempercayai dan menyakini satu sama lain di dalam urusan rumahtangga. Maka berlakulah tidak bersefahaman di dalam urusan rumahtangga di mana masing-masing berasakan lebih baik daripada pasangannya.
***
Jika kita terus berusaha untuk berfikiran positif tanpa positifkan jiwa dahulu, peperangan fikiran dan jiwa/hati pasti terus berlaku. Tiada aliran searah antara fikiran dan jiwa/hati kita.
Kita sering lihat mereka yang bersemangat di dalam sesuatu kerja mempunyai fikiran yang positif. Malah pakar-pakar motivasi juga menyarankan agar positifkan fikiran. Namun ramai yang tidak melihat lebih tinggi daripada itu iaitu positifkan jiwa.
***
Jiwa yang positif akan positifkan fikiran. Fikiran yang positif tidak mampu dipaksa. Ia harus datang daripada jiwa/hati kita. Fikiran positif yang sealiran dengan jiwa positif bukan sekadar mampu memberikan semangat kepada seluruh jasad kita tetapi menggerakkan jasad kita untuk melakukan kerja.
Mereka yang berjaya sebenarnya bukan sekadar mempunyai fikiran yang positif tetapi fikiran positif mereka sebenarnya dijana oleh jiwa yang positif.
***
Apakah orang kafir mempunyai jiwa yang positif? Ya, namun tidak sama dengan positif yang dimaksudkan di dalam blog saya ini. Positif yang saya maksudkan di sini adalah jiwa yang sentiasa dituntun oleh Allah SWT.
Jiwa yang positif adalah jiwa yang sentiasa berserah pada Allah SWT. Jiwa yang berserah akan lebih sabar dan akan dituntun oleh Allah SWT. Ia dijelaskan oleh Allah SWT di dalam firmanNya:
“Sesungguhnya Allah SWT bersama (membantu) orang-orang yang sabar” (QS 2:153)
Kerana itu perbezaan jelas jiwa orang yang dekat dengan Allah SWT dan jiwa yang jauh daripada Allah SWT. Jiwa yang jauh daripada Allah SWT ini tiada beza dengan jiwa orang kafir. Mereka bersemangat tetapi tidak tenang dan sejahtera. Jarang malah tidak langsung bersyukur. Sentiasa merasakan segala kenikmatan yang dimiliki kerana usaha keras mereka. Bukannya daripada Allah SWT.
***
Kita semua perlu mendidik jiwa kita menjadi jiwa yang positif dengan sentiasa berada dekat dengan Allah SWT. Kita semua perlu memiliki kesedaran yang tertinggi akan hal Allah SWT. Memiliki kesedaran tertinggi perlukan latihan. Ia tidak datang sekelip mata. Latihan yang paling asas adalah melakukan KOMUNIKASI dengan Allah SWT.
Tukarkan semua mind chat kita kepada komunikasi dengan Allah SWT. Saudara akan berasa jiwa saudara semakin positif setiap hari.
Hubungan antara suami dan isteri akan lebih memahami jika kedua-keduanya sentiasa berkomunikasi dengan Allah SWT. Allah SWT memberikan ilham taqwa kepada suami isteri dan hidup kita suami isteri lebih mudah faham memahami.
Jika diajarkan pula kepada anak-anak agar sentiasa berkomunikasi dengan Allah SWT sejak kecil, pasti mereka mudah dididik dan menghormati ibu bapa.
Jika rakan-rakan sekerja juga sentiasa berkomunikasi dengan Allah SWT, maka segala kerja menjadi mudah. Kata sepakat mudah dimiliki dan semua orang akan bekerja dengan penuh semangat. Idea dapat dijana dan dilontarkan dengan baik. Fikiran berjalan dengan pantas dan mampu terjana dengan hebat. Perbincangan berjalan dalam keadaan ceria dan saling hormat menghormati.
Semoga hidup kita lebih memahami antara satu sama lain. Komunikasi sentiasa dengan Allah SWT. Tiada lagi mind-chat.

-JPHBT-

0 comments:

Post a Comment

Thanks!!

Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan sesiapa yang membaca blog ini, menjadi orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkat. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin

"Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah."