Monday, August 29, 2011

SUKARNYA UNTUK MEMAAFKAN

Sebagai manusia biasa yg dicipta dengan serba kekurangan dan kelemahan, pastinya kita takkan lepas dari membuat kesalahan dan dosa sesama manusia…

“Maaf…”/“Mintak ampun…”/“Sorry…”/“Ampunkanlah segala kesalahan dan dosa…”/“Tobat dah, janji tak buat lagi…”

Inilah antara beberapa ungkapan dan perkataan yg diucapkan bila kita ingin menebus sebarang kesalahan atau dosa yg dilakukan. Ayat-ayat di atas ini juga dijamin popular sepanjang berjalannya Syawal yg mulia ini. Pastinya kesempatan ini digunakan sebaik mungkin untuk bermaaf-maafan lalu mengeratkan lagi silaturahim.

Persoalannya sekarang…

Adakah kita pasti bahawa dosa kita sudah terhapus dengan hanya memohon maaf? Adakah kita pasti bahawa keluarga dan sahabat handai BENAR-BENAR IKHLAS memaafkan kita? Adakah kita juga pasti bahawa hati kita sudah BENAR-BENAR IKHLAS memaafkan dan ayat memaafkan yg terkeluar itu bukan hanya sekadar formaliti?

Hmmm….

Tak faham? Keliru dengan soalan saya?

Untuk memudahkan pemahaman, sila baca satu kisah (yg telah ditokok tambah sedikit untuk unsur dramatic dan tiada kena mengena dgn yg hidup atau yg mati) di bawah:

 
Saya ada seorang kawan baik bernama Rizal (bukan nama sebenar). Beberapa tahun dahulu, beliau telah mengikat tali pertunangan dengan kekasih hatinya yg bernama Fasha (juga bukan nama sebenar). Pasangan ini sudah mula bercouple sejak di zaman sekolah lagi (macam dalam cerita Sembilu tu…) dan bertunang sebaik sahaja tamat persekolahan. Fasha bolehlah dikatakan cantik juga rupa parasnya. Saya pun ada gak beberapa kali terliur dengan kegebuan wajahnya yg setaraf dengan Dewi Remaja tu. Mungkin itu juga satu faktor yg menyebabkan Rizal sangat-sangat sayang dengan Fasha dan sanggup bertunang di usia yg muda kerana tak sanggup berputih mata melihat buah hatinya itu terlepas ke tangan lelaki durjana lain.

Dipendekkan cerita, Fasha melanjutkan pengajian ke sebuah universiti teknologi di selatan tanahair. Rizal menyambung pengajiannya di sebuah institut teknologi (kini sudah diupgrade menjadi universiti) di Shah Alam. Sewaktu bekerja dulu saya selalu berjumpa dengan Rizal. Setiap kali berjumpa, beliau pasti akan bercerita tentang tunangnya itu… mana lokasi dan aktiviti dating terbaru mereka… berapa duit yg disimpan untuk majlis kawin nanti… hadiah yg baru dibelinya… serta pelbagai lagi cerita mengenai percintaan mereka yg penuh dengan unsur titanic tu. Ada masanya saya (dan semua rakan lain) akan tensen dan menyampah dengan gelagat Rizal yg terlalu mendewa-dewakan tunangnya itu! Ada masanya saya terharu gak melihatkan sesungguhan dan keikhlasannya terhadap Fasha. Memang tak dinafikan beliau memang amat sayang dan cintakan Fasha sedalam-dalamnya. Dan kerana tu jugak, ada ketikanya saya akan rasa amat-amat bersalah kerana selalu terliur dengan kegebuan wajah tunang kawan sendiri!

Dipendekkan cerita sekali lagi… akhirnya ntah camana tiba-tiba diorang boleh PUTUS TUNANG! Dari sumber yg boleh dipercayai dan mulut emak Rizal sendiri, pertunangan mereka ini diputuskan atas kehendak Fasha sendiri!! Menurut emaknya lagi, Fasha sebenarnya sudah tidak cintakan Rizal dan kini sedang menjalinkan hubungan dengan seorang balak seuniversiti dengannya. Hohoho, kes main kayu tiga rupanya!

Bagaimana pula dengan Rizal? Tak perlu rasanya diceritakan panjang lebar tentang keadaannya sebaik saja menerima berita tersebut. Cukuplah saya katakan bahawa keadaannya memang teruk bahana frust menonggeng. Rizal mengambil masa yg agak lama juga untuk pulih dan belajar menerima kenyataan. Studinya habis terbengkalai begitu sahaja. Dan demi mengubati hatinya yg luka itu, beliau membawa diri ke KL dan tidak pulang lagi selepas itu.

Tamat sahaja pengajian Fasha telah berkahwin dengan balak skandalnya (bestlah kau!). Selepas berkahwin beliau dan suaminya juga telah berpindah KL. Rasanya itulah kali terakhir saya melihat dan terlior dengan kegebuannya yg setanding dengan Dewi Remaja tu! Di KL Rizal rajin menghubungi saya dan kami juga sering berjumpa. Cuma kali ini dia tidaklah seceria dahulu dan tidak lagi galak menyebut nama Fasha. Namun begitu, saya tahu jauh di sudut hatinya, dia masih lagi sayang dan cintakan bekas tunangnya itu.

Tahun berlalu dan entah camana Fasha yg pernah mengecewakan sahabat saya dan membuat saya terlior tak tentu pasal tu tiba-tiba menelefon. Terkejut juga bila mendapat panggilan dari bekas ratu kampung yg gebu tu. Menurut Fasha, dia sudah lama mencari Rizal dan mengharapkan saya membantunya menemukan mereka kembali. Mulanya berat hati gak nak penuhi permintaannya. Takut nanti kena marah ngan Rizal. Tapi selepas mendengar tujuannya ingin berjumpa, dengan hati yg takut saya sampaikan juga niatnya itu. Sekali lagi saya terkejut dengan reaksi Rizal sebaik sahaja mendengar berita tersebut. Dengan coolnya dia menyatakan persetujuannya. Namun dari riak mukanya saya boleh agak ada sesuatu yg dipendam dihatinya.

Kami bertemu di Taman Tasik Titiwangsa. Fasha datang bersama anak perempuannya. Entah camana saya terpandang pipinya dan mula terkenang kegebuannya di zaman remaja dahulu kala. Perbualan mereka dimulakan dengan Fasha teresak-esak menangis memohon seribu kemaafan dari Rizal. Air matanya mengalir membasahi pipinya yg dah tak berapa gebu tu. Rizalcuma sekadar mengangguk tersenyum dan menyatakan kesudiannya memaafkan kecurangan bekas tunangnya itu. Serta merta Fasha tersenyum dan menangis lebih galak lagi… mungkin kerana terlalu gembira dengan kenyataan Rizal itu. Menurut Fasha, sudah bertahun-tahun dia menyimpan rasa bersalah dan sudah lama dia menunggu untuk mendengar ucapan keampunan dari mulut Rizal. Dan setelah bertahun menanti, akhirnya hajatnya itu berjaya disempurnakan. Dia nyata gembira sekali. Beban yg digalas sudah tiada lagi. Tidur malamnya pasti akan lena selepas ini. Mereka menyambung perbualan dengan berkongsi cerita terkini. Saya hanya duduk di meja berdekatan sambil melayan keletah anak perempuan Fasha. Sesekali saya menjeling pipi Fasha yg sudah tak berapa gebu tu dan membayangkan adakah anak perempuannya ini bakal mewarisi genetik gebunya itu.

Sebaik pulang ke rumah, saya membizibodykan diri bertanya Rizal tentang pertemuan sebentar tadi. Saya juga sempat bertanya tentang adegan drama air mata mereka.

“Aku memang dah lama maafkan si Fasha tu…. tapi…”, Rizal berhenti seketika. Tangannya pantas menyambar kotak rokok saya yg diletakkan di atas meja. “Walaucamanapun aku doa semoga diorang tak bahagia… dan jangan harap aku nak baik ngan laki dia tu!”, sambungnya lagi selepas menyalakan rokok yg baru dipow. Terkejut saya mendengar kenyataannya itu. Tangan segera menyambar kotak rokok. Terkejut saya semakin bertambah melihat kotak rokok yg sudah kosong. “Apsal ko cakap camtu? Kata tadi ko dah maafkan dia?”, tanya saya sambil menjeling rokok terakhir saya yg berasap di celah jarinya itu. “Ye… memang aku dah maafkan dia… tapi aku tak boleh terima perbuatan diorang tu… kalau boleh aku nak diorang rasa camana sakit dan kecewanya aku dulu!”. Rizal semakin ligat menyedut asap rokok pownya itu. Dan masa malam itu dihabiskan dengan mendengar Rizal menjustifikasikan hukuman yg dijatuhkan kepada bekas tunang dan suaminya itu.

Saya hanya mendengar dan terkulat-kulat kesangapan rokok…

Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Semakin lama masa berlalu, semakin banyak lagi komen dan doa berunsur negatif yg dilemparkan oleh Rizal terhadap pasangan tersebut. Namun begitu, kehidupan Fasha dan suaminya tetap berjalan seperti biasa. Semakin bahagia rasanya. Ini menambahkan lagi sakit hati Rizal terhadap mereka yg kononnya telah dimaafkannya itu. Kemudian terdengar pula cerita tentang Fasha yg sedang menanti kelahiran anak kedua. Bagai mencurah garam di atas luka, berita ini makin menambah perit di hati Rizal.

-TAMAT-

Amacam?

Boleh faham mesej yg cuba disampaikan oleh saya? “Aku dah ampunkan kau tapi jangan harap kita akan kawan macam dulu lagi” / “Aku maafkan tapi aku akan sentiasa ingat apa yg korang dah buat kat aku dulu?” / “Saya okey je… tapi jangan harapler saya nak beli barang kat sini lagi!” Saya yakin ramai diantara kita yg pernah mengalami atau menyaksikan situasi dimana ungkapan-ungkapan di atas ini diungkapkan. Mulut kata maaf tapi hati kata lain! Mungkin kalau ditanya, pihak yg mengeluarkan ayat-ayat di atas akan bermati-matian mempertahankan bahawa mereka memang telah memaafkan si pesalah. Walaupun sudah dimaafkan masih ada lagi TAPI yg mendoakan si pesalah mendapat hukuman atau balasan yg setimpal.

Adakah ini yg dikatakan KEMAAFAN? Adakah pihak yg bersalah sudah benar-benar di maafkan?

Maaf bukanlah dengan sekadar keluar di mulut atau anggukan kepala sahaja. Perbuatan memaafkan itu meliputi segala-galanya – Perbuatan dan perkataan mestilah selari dengan apa yg ada di dalam hati. Islam mewajibkan kita semua untuk berlaku BENAR setiap masa samada melalui perkataan dan perbuatan. Bukankah penipu namanya kalau mulut mengatakan YA tapi hati pulak penuh dengan TAPI dan DOLAK-DALIK. Bila sudah memaafkan, isu atau masalah yg berlaku hendaklah dipadamkan terus dari hati – tiada lagi dendam kesumat walaupun sekelumit. Hati wajib dengan IKHLAS dan REDHA memaafkan tanpa sebarang TAPI, DOLAK-DALIK dan SYARAT! Setiap kali Syawal menjelma, kita dengan ceria dan konfidennya mengucapkan MAAF ZAHIR & BATIN

Persoalannya, adakah kita benar-benar faham dengan makna MAAF ZAHIR & BATIN tu?

Zahir – kelihatan di luar, tampak dari luar, nyata pada pandangan (yg tersurat) Batin – (dlm) hati, perasaan dlm hati: ia dukacita dlm ~nya; di peringkat itu, ~nya bercanggah lagi; 2. (bkn) jiwa: penyakit ~; 3. tersembunyi, ghaib, tidak kelihatan: pertalian ~;berbatin bercakap (membaca) dlm hati;membatinkan menyembunyikan, merahsiakan;kebatinan(yg tersirat) (Sekadar mengambil terjemahan perkataan dari Kamus Dewan)

Begitulah lengkapnya nikmat Islam yg diterima oleh kita. Amalan yg diijazahkan kepada kita bukan sekadar amalan luaran sahaja. Luaran dan dalaman, niat dan perbuatan haruslah selari – barulah amalan kita mendapat keberkatan, insyaallah! Lihatlah bagaimana junjungan besar kita Rasulullah S.A.W berhadapan dengan musuh yg SENGAJA sentiasa mencari peluang untuk membinasakan beliau. Walaupun diasak dengan pelbagai perbuatan khianat, Rasulullah S.A.W tetap dengan IKHLAS memaafkan dan selalu berdoa semoga mereka semua diberi petunjuk dan hidayah. Dengan memaafkan orang lain, kita sebenarnya membebaskan diri sendiri dari menanggung beban di dada. Jika caranya betul, insyaallah hati dan jiwa kita tenang – bebas dari segala nafsu amarah dan dendam. Janganlah menyimpan dendam kerana ia bisa merosakkan hati. Bila hati rosak, maka rosaklah semuanya… dan penyakit pun mudah singgah !

Sabda Rasulullah S.A.W,

“Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati.”

Hadith riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Jadi sempena Syawal yg semakin menghampiri penghujungnya, saya sekali lagi menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya ada salah saya terhadap anda, samada sengaja ataupun tidak… Semoga kita semua akan IKHLAS memohon maaf dan memaafkan sesama kita… LUAR dan DALAM!

Akhir kata, Selamat Hari Raya sekali lagi – MAAF ZAHIR & BATIN!

0 comments:

Post a Comment

Thanks!!

Ya Allah, Aku mohon kepadaMu agar Kau catatkan sesiapa yang membaca blog ini, menjadi orang yang Engkau angkat kerajaannya. Engkau ampuni seluruh dosanya. Engkau buka hati yang tertutup. Engkau lembutkan hati yang keras membatu. Engkau cahayai hati yang gelap gelita. Ya Allah jadikan perkongsian ilmu ini membuatkan sisa umur kami penuh berkat. Terpelihara dari fitnah dan musibah. Amin

"Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati mulia membawa kita ke jalan Allah."